12 May 2020

Kenyataan Akhbar: Kelonggaran PPKP Bersyarat dan Sambutan Hari Raya Aidil Fitri

KENYATAAN AKHBAR

12 Mei 2020

Kelonggaran Perlanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Sambutan Hari Raya Aidil Fitri

Merujuk kepada pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia pada 10 Mei 2020 berkaitan perlanjutan dan amalan yang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

1. Akademi Perubatan Malaysia amat mengalu-alukan pengumuman perlanjutan PKPB ini sehingga 9 Jun 2020 dan berpandangan ia adalah langkah yang bersesuaian dan tepat bagi mengurangkan penularan jangkitan COVID-19 di samping membuka semula sektor ekonomi secara berperingkat mengikut zon.

2. Akademi Perubatan Malaysia, walau bagaimanapun melahirkan kekecewaan diatas kebenaran untuk mengadakan sambutan majlis Hari Raya Aidil Fitri sehingga 20 orang. Ini ternyata akan merencatkan usaha dan hasil kerja kuat semua rakyat selama wabak ini melanda negara kita. Telah terbukti, pandemic ini hanya memerlukan seorang yang dijangkiti COVID-19, terutama jika seorang itu tidak mempunyai apa-apa gejala (atau "false negative" yang mungkin berlaku semasa saringan) untuk menjangkiti anggota keluarga yang lain dalam majlis tersebut. Kami ingin menyarankan agar sambutan berhari raya hanya dibenarkan kepada ahli keluarga seisi rumah sahaja. Kita perlu beringat, betapa sukarnya membendung wabak ini dan kesulitan yang akan dialami serta sumber yang banyak diperlukan dalam proses menjejaki kontak nanti.

3. Larangan pergerakan merentas sempadan masih berlangsung, dan kita perlu terus memantau dengan ketat.

4. Kita juga harus terus berwaspada dan bersiapsiaga agar zon hijau dikekalkan statusnya manakala zon merah tidak terus menular. Kewujudan kluster-kluster baharu kian muncul, dan ketidakpatuhan atau kelonggaran PKPB bakal memburukkan keadaan sedia ada.

5. Oleh itu kita haruslah berjaga jaga dan tidak terlalu cepat meraikan kejayaan. Amalan baik seperti kerap mencuci tangan, penjarakan sosial, elak dari berhimpun, dan memakai topeng muka perlu diteruskan. Kelonggaran PKPB secara keterlaluan dan tiada perincian teliti akan memberi kesan songsang kepada usaha kuat barisan hadapan kesihatan dan pengorbanan rakyat selama ini . Wabak Covid-19 masih lagi kekal merbahaya sebagai ancaman nyata dan kita sebagai rakyat Malaysia perlu menggembleng tenaga untuk mencegah penularannya bersama.

Ditandatangani:

Akademi Perubatan Malaysia (Profesor Dr Rosmawati Mohamed, Master)
Kolej Pakar Anestesiologi (Dato Dr Jahizah Hassan, Presiden)
Kolej Pakar Pergigian (Profesor Dato’ Dr Lian Chin Boon, Presiden)
Kolej Pakar Kecemasan (Dr Ridzuan Dato’ Mohd Isa, Presiden)
Kolej Pakar Obstetrik dan Ginekologi (Dr Michael Samy, Presiden)
Kolej Pakar Oftalmologi (Dr Nur Fariza Ngah, Presiden)
Kolej Pakar Pediatrik (Profesor Dr Thong Meow Keong, Presiden)
Kolej Pakar Patologi (Profesor Dr Cheong Soon Keng, Presiden)
Kolej Pakar Perubatan (Dr Letchuman Ramanathan, Presiden)
Kolej Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman, Presiden)
Kolej Pakar Radiologi (Dr Amir Fuad Hussain, Presiden)
Kolej Pakar Bedah (Profesor Dr April Camilla Roslani, Presiden)