Kenyataan Media Presiden Majlis Perubatan Malaysia - Pengecualian Mata CPD

20 Mei 2020

Pengecualian Mata CPD Bagi Pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Tahunan 2021 Bagi Semua Pengamal Perubatan

Selaras dengan Akta Perubatan 1971, kesemua pengamal perubatan yang mengamal di Malaysia perlulah berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM). Kesemua pengamal perubatan yang telah berdaftar penuh perlulah memiliki Sijil Perakuan Amalan Tahunan tertakluk kepada memenuhi salah satu syarat pembaharuan iaitu keperluan minima mata CPD sebanyak 20 mata.

Sukacita dimaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Majlis Perubatan Malaysia (MPM) yang telah bersidang pada 14 April 2020 telah memutuskan bahawa kesemua pembaharuan Sijil Perakuan Amalan Tahunan bagi tahun 2021 adalah diberi pengecualian daripada memenuhi keperluan mata CPD berikutan khidmat pengamal perubatan sebagai petugas barisan hadapan dalam menangani wabak COVID-19 yang melanda negara pada masa ini dan kekangan masa bagi memenuhi keperluan mata CPD yang tersebut.

Ini merupakan satu tanda penghargaan dan juga sebagai penyuntik semangat kepada pengamal perubatan sebagai petugas barisan hadapan atas sumbangan cemerlang dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19 yang melanda negara pada masa ini. Dengan ini, adalah diharapkan pengamal perubatan terus berdedikasi dan bersemangat untuk terus berkhidmat bagi membasmi penularan wabak ini yang dijangka akan terus berlarutan sehingga tahun hadapan.

Sekian, terima kasih.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
PRESIDEN
MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

20 MEI 2020